Tuesday, February 5, 2013

Penapis Udara (Air Filter)




Penapis udara (air filter) yang dipasangkan pada intake manifold adalah bertujuan :
  • Membersihkan udara sebelum masuk ke dalam enjin melalui Intake Manifold.
  • Mengurangkan kelajuan udara yang masuk dengan itu akan menjimatkan penggunaan bahan api.
  • Menolak percikan voltan tinggi semasa terjadinya “back fire”.
  • Mengambil hawa panas dari “exhaust manifold” untuk tujuan pengeluwapan bahan api sebelum masuk ke dalam silinder, maka pembakaran akan mudah dilakukan.

Mengenali Enjin

Enjin merupakan nadi penggerak bagi sesebuah kenderaan. Tanpa enjin kenderaan tidak dapat bergerak. Enjin menghasilkan kuasa apabila berlakunya pembakaran di dalam silinder. Campuran udara-bahan api yang dimampatkan akan dibakar di dalam silinder enjin tersebut dan akan menghasilkan kuasa bagi menggerakkan sesebuah kenderaan.


Oleh sebab itu, enjin jenis ini dikenali sebagai enjin pembakaran dalam. Ini kerana pembakaran berlaku di bahagian dalam enjin. Terdapat juga enjin yang proses pembakaran berlaku di luar. Contohnya seperti enjin stim yang digunakan pada keretapi atau kapal yang lama.


Enjin biasanya terletak di bahagian hadapan sesebuah kenderaan. Ada juga enjin yang terletak di bahagian belakang sesebuah kenderaan. Sekiranya anda membuka hud hadapan, anda akan dapat melihat enjin dan komponen-komponen lain yang dicagakkan pada enjin. Antaranya termasuk pengulangalik (alternator), motor penghidup (starting motor), kompresor pendingin hawa (air-conditioning compressor), pengecas turbo (turbo charger), bateri dan lain-lain lagi.


Terdapat empat sistem sokongan untuk memastikan enjin sentiasa menghasilkan kuasa iaitu sistem bahan api (fuel system), sistem penyalaan (ignition system), sistem pelinciran (lubricating system) dan sistem penyejukan (cooling system).


Enjin terbahagi kepada enjin penyalaan palam pencucuh (spark ignition engine) atau lebih dikenali sebagai enjin petrol dan enjin pencucuhan mampatan (compressed ignition engine) atau lebih dikenali sebagai enjin diesel. Terdapat perbezaan bagi kedua-dua enjin ini. Antaranya ialah bahan api yang digunakan dan cara penyalaan enjin tersebut.


Enjin juga terbahagi kepada enjin empat lejang dan enjin dua lejang. Enjin empat lejang terdiri daripada lejang masukan (intake stroke), lejang mampatan (compression stroke), lejang kuasa (power stroke) dan lejang ekzos (exhaust stroke).

Kendalian Enjin 4 lejang

Enjin 4 lejang terdiri daripada lejang masukan (intake stroke), lejang mampatan (compression stroke), lejang kuasa (power stroke) dan lejang ekzos (exhaust stroke). Pada setiap lejang omboh (piston) akan bergerak dari atas ke bawah atau dari bawah ke atas dalam silinder enjin tersebut.

Lejang Masukan
Omboh akan bergerak dari takat terakhir atas (TTA) ke takat terakhir bawah (TTB). Injap masukan terbuka. Campuran udara-bahan api masuk ke dalam silinder enjin.

Lejang Mampatan
Omboh akan bergerak dari TTB ke TTA. Pergerakan omboh ke atas akan memampatkan campuran udara-bahan api. Injap masukan dan injap ekzos tertutup.

Lejang Kuasa
Palam pencucuh (spark plug) akan memercikkan api dan membakar campuran udara-bahan api yang dimampatkan. Campuran udara-bahan api yang terbakar tadi akan menghasilkan tekanan yang kuat dan menolak omboh dari TTA ke TTB. Injap masukan dan injap ekzos tertutup.

Lejang Ekzos
Injap ekzos terbuka. Omboh bergerak dari TTB ke TTA dan menolak keluar hasil pembakaran campuran udara-bahan api (gas ekzos).




Selepas itu omboh akan bergerak dari TTA ke TTB untuk memulakan lejang masukan, lejang mampatan, lejang kuasa dan ekzos. Kitaran lejang ini akan terus berulang selagi enjin masih beroperasi.

Sistem Sokongan Enjin


Terdapat 4 sistem sokongan enjin iaitu sistem penyalaan, sistem bahan api, sistem penyejukan dan sistem pelinciran.




Sistem Bahan Api

  • Sistem ini bertujuan untuk menghantar bahan api (petrol/diesel) ke dalam enjin. Bahan api ini akan bercampur dengan udara untuk membentuk campuran udara-bahan api. Terdapat sistem bahan api yang menggunakan karburetor dan ada juga yang menggunakan pancitan bahan api elektronik atau electronic fuel injection (EFI).


Sistem Penyalaan
  • Apabila campuran udara-bahan api masuk ke dalam silinder enjin, campuran tersebut akan dimampatkan. Ini disebabkan oleh pergerakan omboh dari TTB ke TTA (bawah ke atas). Palam pencucuh akan menghasilkan percikan api dan membakar campuran udara-bahan api tadi. Akibat daripada pembakaran tersebut kuasa akan terhasil untuk menggerakkan kenderaan.


Sistem Penyejukan
  • Sistem penyejukan bertujuan untuk mengawal suhu kendalian enjin iaitu antara 80⁰C hingga 90⁰C. Apabila pembakaran berlaku di dalam silinder enjin, akan terhasilnya haba. Haba ini sekiranya tidak disingkirkan akan menyebabkan komponen enjin menjadi terlalu panas dan gagal berfungsi dengan baik.


Sistem Pelinciran
  • Terdapat banyak komponen yang bergerak dalam enjin. Contohnya seperti omboh, aci engkol, aci sesondol dan sebagainya. Bahagian ini sekiranya bergesel antara satu sama lain akan mengakibatkan kehausan. Untuk mengelakkan dari kehausan, bahagian-bahagian ini akan diseliputi dengan minyak pelincir. Terdapat pam minyak pelincir untuk menghantar minyak pelincir ke bahagian bergerak enjin. Tangki minyak pelincir pula terletak dibahagian bawah enjin.